Powered by Nuffnang

Saturday, November 13, 2010

Renungan Sejenak... ^_^

MENGHAYATI HARI RAYA KORBAN  
oleh Ustaz Syed Hasan Alatas

 
'IDUL ADHA disebut juga sebagai Hari Raya Korban ataupun Hari Raya Haji. Pada Hari Raya Haji  ramai umat Islam yang berkemampuan menyembelih korban untuk dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin. Ramai juga umat Islam yang menunaikan Ibadah Haji ke BaitulHaram. Semangat pengorbanan yang telah dibuktikan oleh Nabi Ibrahim a.s. dilanjutkan pula oleh umat Islam untuk membantu mereka yang susah.



  
Jika sifat suka berkorban ini meresap ke jiwa seluruh umat Islam Insya-Allah akan wujud ketenangan dan kedamaian dalam masyarakat dan akan hapus jurang yang memisahkan antara yang kaya dengan yang miskin, antara yang kuat dengan yang lemah, antara pemerintah dengan rakyat biasa.
 
Mereka yang kaya mengorbankan sebahagian daripada hartanya untuk membantu mereka yang di dalam kesusahan, seperti yang biasa dialami oleh fakir miskin, yatim piatu ataupun sesiapa yang memerlukan pertolongan. Mereka yang telah menerima bantuan sepatutnya mensyukurinya dan berusaha dengan sekuat tenaga tidak hanya bergantung kepada pemberian orang, Rasullah s.a.w.telah mengingatkan bahwa:
 
"Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah".
 
Oleh kerana itu kita perlulah bekerja keras untuk meningkatkan taraf kehidupan kita. Jika kita rajin berusaha, seperti mengerjakan tanah yang terbiar, menanam tanaman, memelihara haiwan ternakan dan sebagainya, Insya-Allah di suatu masa taraf kehidupan kita akan berubah kepada yang lebih baik.

 Ibadah Haji ialah ibadah yang diwajibkan kepada mereka yang mampu mengerjakan sekali seumur hidup, Allah s.w.t.berfirman yang maksudnya: 
 
"Dan serulah manusia untuk mengerjakan Haji, niscaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan mengenderai unta yang kurus (disebabkan jauhnya berjalan) yang datang dari segenap penjuru yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebutkan nama Allah pada hari yang ditentukan, kerana rezeki yang Allah telah anugerahkan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan berilah makan orang yang sengsara dan fakir."(Qur'an. S.al-Hajj:27-28)
 
Sungguh besar manfaat yang akan diperoleh mereka yang mendapat kesempatan menunaikan ibadah haji, antaranya, Insya-Allah akan terjalin perasaan ukhuwah Islamiah sedunia, menanamkan rasa persamaan, mendidik rohani dan jasmani kita supaya tabah dan sabar menghadapi cubaan. Dapat melihat sendiri tempat tempat sejarah Nabi Ibrahim dan Ismail, tempat bersejarah ketika Rasulallah s.a.w. dan sahabat berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan dan mengajak manusia ke jalan yang benar jalan yang diredhai Allah s.w.t. yang terkandung dalam Islam.

 
Mereka yang datang menunaikan ibadah haji terdiri daripada pelbagai bangsa yang datang dari segenap penjuru dunia, dengan demikian kita saling berkenalan dan dapat mempelajari adat manusia dari berbagai bangsa dan suku puak. 
 
Berbagai-bagai kesukaran dari mula mempersiapkan perbelanjaan untuk yang pergi dan untuk yang ditinggalkan. Kesukaran dalam perjalanan, kesukaran menghadapi berbagai ragam manusia, kesukaran cuaca yang berbeza dari tempat asal kita, dan sebagainya, semua itu akan membentuk diri dan peribadi kita menjadi manusia yang sabar dan tabah menghadapi cubaan hidup.
 
Marilah kita berdo'a kepada Allah s.w.t. semoga diampuninya segala dosa-dosa kita selama masa yang lalu, baik dosa yang mungkin kita telah lakukan terhadap diri ataupun terhadap mereka yang lemah. Marilah kita memohon kepada Allah s.w.t. semoga diterimanya segala amal ibadah kita dan akhirnya kita akan memperoleh Husnul Khatimah, akhir yang baik dan dapatlah kehidupan kita diberkati dan diberikan ketenangan dan diselamatkan dari segala malapetaka mungkin kerana dosa-dosa yang pernah kita lakukan sengaja ataupun tidak sengaja.
 
Amin ya Rabbal Alamin!




No comments:

Post a Comment